Bab 08-Murji’ah
Mazhab Murji’ah Qadariah
1Audio clip: Adobe Flash Player (version 9 or above) is required to play this audio clip. Download the latest version here. You also need to have JavaScript enabled in your browser.
Terdapat golongan yang lain di kalangan Murji’ah yang memberi penekanan kepada masalah iman, irjak dan qadar. Golongan ini berpecah kepada beberapa aliran seperti berikut:
Al-Najariah:
Adalah pengikut Hasan bin Muhammad al-Najar. Antara ajarannya adalah:
- Kuasa makhluk yang dinamakan usaha boleh memberi bekas.
- Menafikan rukyah Allah dengan nyata pada hari kiamat nanti.
- Menganggap Kalam Allah itu baru.
- Iman itu ialah pengakuan (tasdiq) sahaja.
Kemudian golongan ini berpecah pula kepada beberapa mazhab, iaitu al-Balghuthiah, al-Za’fuaniah dan al-Mustadrakah.
Al-Jahamiah:
Pengikut Jaham bin Safuan yang lahir di Khurasan dan membawa ajaran sesat di sana. Antara ajarannya adalah:
- Pada peringkat awalnya dia mewujudkan fahaman Jabariah. Kemudian, dia memasukkan dalam ajarannya dengan beberapa fahaman Muktazilah dan Qadariah.
- Menafikan sifat-sifat Allah. Katanya, “Kalau Allah itu mempunyai sifat maka samalah ia dengan makhluk.”
- Syurga dan neraka itu akan binasa.
Al-Bakriah:
Adalah pengikut Bakar bin Abdul Wahid. Menurut pengarang al-Mizan, Bakar bin Ziad al-Bahali, antara kejahatannya adalah mencipta hadis palsu dengan menyandarkannya kepada Abdullah bin al-Mubarak. Antara ajarannya ialah:
- Manusia itu roh sahaja tidak termasuk jasad.
- Dosa besar yang dilakukan oleh ahli Qiblat hukumnya munafik dan menyembah syaitan. Orang yang melakukannya kekal di dalam neraka yang paling bawah dan dia masih lagi sebagai orang Islam.
- Allah itu dilihat pada hari kiamat dengan rupa yang diciptakannya dan berkata-kata kepada hamba-hambanya dengan rupa itu.
- Kanak-kanak yang masih di dalam buaian tidak berasa sakit walaupun dipukul, dipotong dan dibakar. Dia bernikmat dengannya walaupun ternyata dia menangis.
- Mengharamkan bawang putih dan bawang besar.
- Mewajibkan wuduk apabila berbunyi dalam perut.
Al-Dhirariah:
Pengikut Dhirar bin Amru, antara ajarannya:
- Melihat Allah pada hari kiamat dengan pancaindera yang keenam yang dijadikan oleh Allah untuk orang-orang yang beriman pada hari kiamat.
- Yang menjadi hujah selepas wafatnya Nabi Muhammad hanya ijmak para sarjana Islam.
- Mengingkari laporan Abdullah bin Mas’ud dan Ubai bin Kaab mengenai kaedah bacaan al-Quran dan menuduh kedua-dua orang sahabat itu sesat.
- Meragui iman seluruh umat Islam kerana mendakwa tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka.
Al-Karramiah:
Pengikut Abdullah bin Muhammad bin Karram al-Naisaburi al-Sajistani. Pada zahirnya, dia dilihat sebagai orang yang warak dan ahli pidato yang memberi nasihat kepada orang ramai. Sebaliknya dia menjadi pemimpin besar ajaran sesat yang dikenali dengan nama al-Karramiah.. Antara ajarannya ialah
- Iman itu ialah ikrar dan percaya dengan lidah sahaja, tidak perlu dengan hati.
- Tuhan yang disembah itu berjisim yang mempunyai had dan kesudahan. Allah itu berada di Arasy dan di sebelah atas.
- Tidak berwuduk sebelum sembahyang.
- Sembahyang musafir cukup dengan dua takbir sahaja tidak perlu qiam (berdiri), rukuk, sujud, tasyahud dan salam.
- Sah bersembahyang dengan pakaian dan tempat yang najis.
- Sembahyang fardu, puasa dan haji tidak perlu niat.
- Memandi mayat dan sembahyang ke atasnya sunat sahaja.
- Wajib makrifat Allah itu dengan amal.
- Mengharuskan adanya dua imam dalam satu masa.
Al-Ubaidiah:
Pengikut Ubaid al-Kumait. Antara ajarannya adalah:
- Allah itu berupa manusia.
- Seorang hamba itu apabila mati dalam keadaan tauhid, dosa dan maksiat yang dikerjakannya tidak menyebabkan apa-apa mudarat kepadanya.
Al-Solihiah:
Pengikut Soleh bin Amru al-Solihi. Antara pegangannya adalah:
- Iman itu ialah makrifat Allah secara mutlak.
- Alam ini hanya mempunyai pencipta.
- Kufur itu ialah tidak tahu mengenai Allah secara mutlak.
- Orang yang berkata Tuhan itu tiga tidak kufur. Ia tidak keluar daripada agama Islam melainkan daripada orang yang kafir.
- Makrifat Allah itu ialah kasih dan tunduk kepadanya walaupun dia ingkar pada ajaran Nabi Muhammad. Ia sah daripada segi akal iman seseorang itu kepada Allah walaupun dia tidak beriman kepada Nabi Muhammad.
- Sembahyang itu bukannya ibadat. Tidak ada ibadah melainkan beriman kepada Tuhan. Makrifatnya tidak lebih dan tidak berkurang.
- Harus bagi Allah menamakan dirinya dengan lawan kepada nama-namanya.
Kuliyah Jumaat 08 Jun 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Sejarah Mazhab Murji’ah I
0Audio clip: Adobe Flash Player (version 9 or above) is required to play this audio clip. Download the latest version here. You also need to have JavaScript enabled in your browser.
Golongan ini diberi kepada mereka merujuk makna perkataan irjak dari segi bahasa. Irjak mempunyai dua makna iaitu:
Pertama; ta’khir iaitu menangguhnya. Kedua; ialah memberi harapan. Mereka diberi nama Murji’ah kerana merujuk makna yang pertama iaitu ta’khir. Ini kerana mereka menangguhkan amalan daripada niat dan qasad (maksud atau tujuan). Apabila merujuk makna yang kedua, mereka berkata maksiat tidak memberi mudarat kepada iman sebagaimana taat tidak membawa mudarat kepada kufur. Kadang-kadang mereka memberi harapan pahala kepada pelaku maksiat.
Sebahagian sarjana Islam juga menghuraikan makna Murji’ah dengan maksud menangguhkan hukuman pelaku maksiat sehingga hari kiamat bukannya dihukum di dunia ini. Segala hukuman yang diwajibkan oleh Allah seperti qisas dan hudud tidak perlu dilaksanakan.
Golongan ini lahir kerana kesan daripada kemunculan mazhab Khawarij yang mengkafirkan orang beriman yang mengerjakan maksiat. Mazhab Muktazilah menghukum pelaku maksiat tidak beriman dan tidak kafir sebaliknya mereka kekal dalam neraka. Mereka tidak menggunakan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad dalam berhujah tetapi menggunakan akal fikiran sehingga bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Golongan Murji’ah terbahagi kepada empat kumpulan iaitu:
MURJI’AH JABARIAH
Mereka yang menangguhkan hukum mengenai iman dan mengikut Jaham bin Safuan dalam perkara amal.
MURJI’AH QADARIAH
Mereka yang menangguhkan hukum mengenai iman dan mengikut Qadariah dan Muktazilah dalam perkara qadak dan qadar.
MURJI’AH KHAWARIJ
Mereka yang keluar daripada Jabariah dan Qadariah serta mengakui Khawarij.
MURJI’AH KHALISAH
Mereka yang tidak mengikut tiga golongan yang tersebut di atas.
Kemudian mereka berpecah pula kepada beberapa kumpulan mengikut pemimpin-pemimpin.
Al- Yunusiah
Pengikut Yunus bin Aun al-Samari. Antara ajarannya:
- Iman ditentukan melalui hati dan lidah. Ia meliputi makrifat Allah, kasih dan tunduk kepadanya di samping membenarkan dengan lidah. Sesiapa yang mempunyai perkara ini dia beriman.
- Taat bukan sebahagian daripada iman. Orang yang beriman itu dikira memasuki syurga dengan ikhlas dan yakinnya bukan dengan ilmu dan taat.
Al- Ghasaniah
Pengikut Ghasan al-Khufi yang menyatakan:
- Iman itu makrifah Allah dan rasulnya. Mereka mengakui wahdaniah (keesaan) Allah dan apa yang diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Nabi Muhammad, secara ijmal (menyeluruh) bukan secara tafsil (terperinci).
- Seorang yang tahu hukum memakan babi itu haram tetapi tidak tahu apa maksud babi, dia beriman. Orang berkata, “Aku tahu Allah mewajibkan haji ke Kaabah tetapi tidak tahu di mana Kaabah atau bagaimana ia boleh terjadi di dunia,” dia beriman.
Al- Thaubaniah
Pengikut Abu Thauban yang menyatakan:
- Iman itu ialah makrifat dan ikrar kepada Allah, para utusannya dan perkara yang pada logik akal tidak boleh melakukannya. Apabila perkara yang pada logik akal boleh meninggalnya maka ia tidak termasuk dalam iman.
- Qadar baik dan jahat itu daripada hamba bukannya daripada Allah. Kepimpinan itu tidak tetap melainkan dengan ijmak umat Islam.
Al-Taumaniah
Pengikut Abu Maaz al-Thaumani. Antara ajarannya adalah:
- Iman ialah suatu yang terpelihara daripada kufur. Ia juga bermaksud nama kepada semua perkara yang apabila ditinggalkan salah suatu daripadanya boleh menyebabkan kafir.
- Orang yang membunuh nabi atau memukulnya didakwa kafir. Ia bukan kerana membunuh dan memukul tetapi kerana meringan-ringankannya, bermusuh dan marah kepadanya.
- Meninggalkan sembahyang dan puasa lalu menghalalkannya menjadi kafir. Apabila meninggalkannya dengan niat qada (ganti) maka tidak menjadi kafir.
- Orang fasik yang mengerjakan dosa besar bukan musuh Allah dan walinya.
Al- Marisiah
Pengikut Abu Abdul Rahman Basir bin Ghias al-Marisi. Ayahnya beragama Yahudi, datuknya pernah menjadi hamba kepada Zaid bin al-Khattab. Al-Marisi seorang pemimpin Murji’ah di Baghdad. Pada mulanya dia mempelajari agama daripada Ketua Hakim Negara al-Khadad Abu Yusuf. Beliau adalah Imam besar dalam mazhab Hanafi. Kemudian, dia terpengaruh dengan ilmu falsafah dan ilmu Kalam yang kemudiannya mengambil ajaran sesat daripada Jaham bin Safuan.
Melihat perubahan Abu Abdul Rahman, Hakim Negara Abu Yusuf kemudian meninggalkannya. Dia menyembunyikan diri pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid hingga pada zaman khalifah al-Makmun. Apabila Khalifah al-Makmun terpengaruh dengan fahaman al-Quran itu baru (makhluk), dia muncul semula di tengah-tengah masyarakat. Al-Darami yang mengarang kitab Sunan bertujuan khusus menolak ajaran al-Marisiah.
Antara fahaman yang dibawa oleh golongan ini adalah:
- Iman itu ialah mengakui dengan hati dan lidah.
- Sujud kepada patung dan matahari tidak kafir tetapi membawa kepada kufur.
- Mustahil Allah mengekalkan orang-orang yang mengerjakan dosa besar ke dalam neraka, bukannya harus.
-Semua perkara yang menjadi derhaka kepada Allah dikira dosa besar.
Al-Syamariah
Pengikut Abu Syamar. Antara ajarannya adalah:
- Iman itu ialah makrifat Allah iaitu tunduk kepadanya, kasih kepadanya dan mengakunya sebagai Tuhan yang satu. Tidak ada tuhan lain yang seumpanya selagi tidak ada hujah daripada para nabi.
- Menolak qadak dan qadar seperti pegangan golongan Murji’ah.
Menurut Ahli Sunnah wal Jamaah, golongan inilah yang paling kafir di kalangan semua kumpulan-kumpulan Murji’ah kerana paling melampau berpegang dengan ajaran mereka dan menolak qadak dan qadar.
Kuliyah Jumaat 25 Mei 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu



Recent Comments